Sunday, January 17, 2016

5 TIPS AGAR DOA KITA SELALU DIKABULKAN ALLAH SWT


Bagaimanakah cara Allah memakbulkan doa hamba-hambanya? Ini memerlukan penjelasan yang tersirat. Fahaman kita tentang makbulnya sesuatu doa mungkin hanya mampu menyingkap selapis daripada kenyataan itu, tetapi disisi Allah mempunyai makna & tafsiran berlapis-lapis.

Untuk menyingkap rahsia itulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : ”Tidaklah seorang berdoa kepada Allah dengan doa kecuali Allah akan memberikan kepadanya, samada dikabulkan segera di dunia lagi, atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturrahim atau mohon disegerakan. Maka sahabat berkata:

”Ya Rasulullah bagaimana doa minta segera itu”? Baginda berkata : ”Seseorang berdoa, aku berdoa tuhanku, maka perkenankanlah segera.”(Sunan Tirmizi no 3968, menurut Abu Isa hadis ini gharib)

Melalui hadis ini para ulama telah merumuskan bahawa doa itu dikabulkan melalui pelbagai kaedah & keadaan. Antaranya termasuk:

---------------------------

1. Doa Dimakbulkan Serta Merta.

Kebanyakan doa yg diajukan oleh para nabi & rasul dikabulkan serta merta. Doa rasulullah SAW menjelang perang badar misalnya, dikabulkan oleh Allah serta merta. Begitu juga doa Ibnu Abbas ra ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun sempat Ibnu Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.

Begitu juga dengan cerita 3 orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap dalam sebuah gua. Sepertimana yg diberitakan dalam sebuah hadis yang panjang lagi masyhur. Pintu gua itu tergerak, (membuka ruang) serta-merta setiap kali salah seorang mereka selesai berdoa. Inilah bukti jaminan Allah SWT melalui firmanNya yg bermaksud : ”dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaku.”(Surah Al-Baqarah 2:186)

2. Kifarat Kepada Dosa.

Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan ataupun tidak. Dosa ialah pendinding daripada mendapat bantuan, keampunan & kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat atas dosa-dosa yang kita sedari. Namun apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya? Bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari? Itu lebih sukar untuk diatasi. Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya? Maka disinilah peranan doa-doa yg kita panjatkan kepada Allah SWT. Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohon kepada Allah SWT. Orang yang berdoa kepada Allah sentiasa disayangiNya. Tanda Allah sayang kepadanya adalah dengan mengampunkan dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun. Inilah kehebatan & kebesaran sifat al-Afu (yang maha Pemaaf) dan Al-Ghaffar (yang Maha pengampun) Allah SWT salah satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hambaNya walaupun hamba yang berdoa itu tidak meminta ampun.

3. Dikabulkan Pada Waktu Lain.

Setiap kali juga sesuatu doa walaupun baik, datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik, tetapi Allah tangguhkan ke waktu lain. Hal ini kerana Allah sayangkan hambanya itu. Allah sengaja berbuat demikian untuk menguji hambanya. Sehingga seorang hamba itu telah bersedia untuk menerima nikmat-nikmat Allah SWT.

Misalnya Allah SWT mengurniakan kekayaan setelah ada dalam hati seorang hamba itu rasa syukur supaya tidak menjadikannya kufur dengan kekayaan. Allah kurniakan kekuasaan setelah ada dalam rasa hati seseorang itu sifat tawaduk & adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.

Jika tidak bersedia, dibimbangkan nikmat itu boleh bertukar menjadi bala. Itulah yg disebut “Istidraj” yakni pemberian Allah yang merupakan satu kutukan & memudaratkan untuk Iman & Islam seseorang yang derhaka kepadanya. Oleh sebab itu, seringkali juga Allah menahan pemberianNya kerana kasih sayangNya pada seseorang. Inilah yang dinukilkan oleh Prof. Dr. K.H. Muhibbudin Waly dalam bukunya Hakikat Hikmat Tauhid & Tasawuf : ”Kadang-kadang Allah memperlambat dalam memperkenankan doa mereka kerana Allah sangat suka dan cinta mendengar suara doa yang selalu diucapkan oleh hambaNya itu kepadanya.”

4. Allah Berikan Sesuatu Yang Lebih Baik Di Akhirat.
Hidup di dunia cuma sementara. Akhirat itu yang lebih baik dan kekal. Firman Allah : ”dan akhirat itu lebih baik dan kekal.”(Surah Al-A’la 87:17) Beruntunglah kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia di dunia ini. Sebagai perbandingan, sehelai rumput di akhirat adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Itu baru sehelai rumput. Bayangkan sebutir mutiara di syurga. Ia sesungguhnya bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia. Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, doa itu akan dikabulkan di akhirat kelak, In Shaa Allah. Doa yang dikabulkan di akhirat itu lebih kekal daripada dikabulkan di dunia lagi. Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat. Kekayaan di akhirat bererti syurga. Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa. Bagi orang yang yakin akan kehidupan akhirat, mereka akan terus menerus berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak dikabulkan di dunia ini.

Banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah kepada kita. Manfaatnya adalah untuk hari akhirat. Doa minta dimatikan dengan iman, masuk ke dalam syurga dengan iman, terhindar dari api neraka, minta dibangkitkan dalam keadaan bersama-sama orang yang membuat kebaikan dan tidak ditempatkan bersama orang-orang zalim.

5. Dihindarkan Bahaya.

Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan cara dihindarkan daripada bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa bahaya yang ada dihadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita akan ditimpa penyakit kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT, Alah selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.

Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa sedar. Kenapa? Yalah, kita minta yang lain tapi Allah berikan yang lain. Namun yang lain itu lebih besar dan lebih bernilai berbanding apa yang kita minta. Misalnya, kita minta kejayaan dalam perniagaan sebaliknya Allah hindarkan dari penyakit-penyakit kronik. Bukankah itu sesuatu yg lebih baik?

Ingatlah apa yang Allah tegaskan menerusi firmanNya” Difardukan kamu peperangan padahal kamu membencinya, boleh jadi apa yang kamu benci baik untuk kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai mungkin membawa mudarat untuk kamu. Allah lebih mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui” (Surah Al-Baqarah 2:216)

No comments:

Post a Comment